Loading...

More News







'Kalau angkatan muda tak punya keberanian, maka mereka sama dengan ternak. Karena fungsinya hanya memperternakkan diri.’
- Pramoedya Ananta Toer
(sumber: Mengenangmu, Mengenali Sejarah Bangsaku)

PLEASE Sign the Petition
Awas! Ada Hanjing Di Hadapan tu.

  • Layari blog ini dengan Firefox.
  • Loading...


    Loading...

    N11 Ijok: Kenapa umno bersungguh tuduh pembangkang bawa budaya Lunas ke ijok?

    22 April 2007 1:59 pm

    Sebelum mengulas tajuk di atas, saya ingin merakamkan rasa sedih dan simpati saya ke atas apa yang menimpa kawan-kawan kita ketika menjalankan tugasan fotografi di Ijok kelmarin. Jeff Ooi bersama rakan setugasnya, selepas makan tengahari di atas jemputan calon PKR (kebetulan adalah sahabat lama Jeff Ooi) telah dikepong dan diserang oleh pemuda-pemuda Malaysia yang ganas.

    Bagaimanapun, tahniah dan syabas buat Jeff dan rakan setugas beliau yang berjaya pulang dengan hasil tugasan yang cemerlang. Jutaan terima kasih kerana sudi berkongsi ole-ole (semahal nyawa anda) dari Ijok dengan kami:-

    1). Ijok… A new lease of life?

    2). Ijok… The only weekend and a hot Sunday

    3). Ijok: Gempur… Terbilang… ( 2 )

    Sekadar# nota kepada semua para blogger sekalian, terutama yang cuba mengaitkan kejadian menimpa Jeff dan rakannya itu sebagai senjata menyerang peribadi Susan Loone.  Anda silap.  Jeff adalah contoh terbaik bagaimana seharusnya sebuah blog berfungsi.  Dan, saya melihat tindakan Jeff turun padang di Ijok adalah selari dengan pendirian awal rocky’s bru, susan loone dan lain-lain. Dan, saya sepandapat dengan mereka bahawa adalah baik jika para blogger dapat ke Ijok sepanjang pilihan raya kecil ini, seperti yang dilakukan oleh Jeff. Salute buat Jeff dan rakan.

    Dengan turut berada tempat pilihan raya kecil sedang berlangsung kita akan secara langsung dapat memerhati dan mengamati selain mengalami sendiri apa yang tidak diperolehi dengan hanya membaca hasil laporan dalam blog-blog lain. Ini semua berguna untuk membantu menajam dan akan meningkatkan lagi daya penulisan (laporan) blog masing-masing. Tidak kisahlah, anda mahu turun ke lapangan bersama parti pilihan masing-masing atau datang hanya sebagai pemerhati bebas.

    Peranan Internet sebagai saluran (medium) melapor dan menyatakan sikap tidak hanya bermula setelah wujudnya blog. Sejarah politik Internet di Malaysia sudah bermula sejak akhir tahun 90-an. Ketika belum wujud Limkitsiang.com, Kuda Kepang, Screenshots (dan blog-blog lain juga) kita sudah ada Laman diskusi Sangkancil, Laman Marhaen, Siswa Lantang, MindaRakyat, Tranungkite, Mahazalim, Mahafiraun, Mahasiswakini, Laman Pak Din (sekadar menyebut beberapa nama — kebanyakannya sudah tinggal kenangan) yang tujuan kewujudannya adalah serupa dengan blog - mengulas, melapor dan menyatakan sikap.

    Bezanya cuma pada perkembangan teknologi. Blog lebih mudah dikendalikan kerana mampu menyokong aplikasi yang dipanggil sebagai web-cms (web content Management system). Maka, pengandali laman-laman web terdahulu seperti Raja Petra Kamaruddin dan lain-lain terpaksa memahirkan diri menggunakan kod html (hyper text markup language).

    Beberapa nama penulis muncul, seperti Harun Rashid, Mustafa K Anuar dan ramai lagi (termasuk yang menggunakan nama samaran seperti Insan Berguna, EnotSabah dan lain-lain juga) yang merancakkan ruang perdebatan maya dalam keadaaan ketakutan, ketika itu.  Saya sendiri pernah menggunakan nama samaran yang berlainan dan tulisan pertama saya adalah berkaitan catatan pengalaman pertama melihat Pilihan Raya Kecil (di Teluk Kemang).  Tulisan-tulisan yang tersiar biasanya berupa komen dan luahan perasaan (ada juga berbentuk kecaman dan sebagainya).

    Bagaimanapun, kesannya terhadap corak politik negara ini tidak dapat dinafikan. Selain berjaya melaporkan kegelisahan rakyat terhadap sikap kasar pihak Polis terhadap para demonstran, (bekas) Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammed sendiri turut tidak senang duduk dan hampir tidak berdaya menepis isu-isu yang dibawakan oleh laman-laman tersebut.

    Akibatnya, Mahathir yang terkenal sebagai MahaFiraun itu amat memusuhi laman-laman web bebas (dari cengkaman pemerintah), termasuklah Malaysiakini.com sehingga pada hari-hari terakhir kekuasaannya (sebagaimana blog-blog bebas menjadi musuh ketat Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan para menterinya pada ketika ini).

    Sebab itulah saya gelihati dan pelik apabila terbaca kenyataan Khairi Jamaluddin yang menuduh pembangkang (baca: keADILan) membawa budaya samseng di Lunas dan Likas ke Ijok.

    Gelihati sebab Khairi begitu naive dan gelojoh membuat tuduhan melulu sampai tersalah fakta. Pelik kerana Khairi Jamaluddin belum wujud dalam peta politik Malaysia pada masa itu, bagaimana dia tahu dan pasti kisah Lunas yang sebenar?

    Untuk pengetahuan Mr. Khairi, apa yang dikatakan sebagai keganasan ketika Pilihan Raya Kecil Lunas tahun 2000 adalah cerita rekaan dan pembohongan Barisan Nasional. Di mana bukti yang dapat ditunjukkan bahawa ada ahli atau penyokong Barisan Nasional yang cedera akibat diganasi?

    Sila rujuk:

    Justifying defeat at Lunas (Berita oleh Susan Loone)

    - Probe mystery buses in Lunas

    Kalau ada bukti keganasan, kenapa rombongan Pemuda UMNO – yang pertama kali dalam sejarah — membuat aduan ke SUHAKAM selepas pilihan raya kecil itu hanya membawa satu kenyataan yang sudah siap bertulis? 

    Apa yang saya lihat sendiri pada ketika itu adalah jauh berbeza dengan dakwaan yang terbit di media massa.  Apa sebenarnya yang dikaitkan sebagai keganasan di Lunas adalah kejayaan besar risikan jentera pakatan pembangkang menahan beberapa buah bas di Naga Lilit. Bas-bas ini dipenuhi pengundi hantu didatangkan dari Selangor.  Bas-bas ini telah diiring dengan selamat ke Balai Polis.

    Menurut Chandra Muzaffar pemimpin BN tidak dapat menerima hakikat kekalahan mereka di Lunas menyebabkan mereka membuat tuduhan tidak berasas. Punca utama kekalahan BN di Lunas adalah faktor kemarahan rakyat terhadap Mahathir. Lojikal akal biasa pun mengakui, kalau Barisan Alternatif (BA, pembangkang) ganas bagaimana pengundi Lunas boleh mengundi mereka? Umpama BN cuba mengatakan pengundi Lunas bodoh kerana tetap mengundi parti yang mengamalkan keganasan — “employed gangster tactics”.

    Begitu juga di Likas, apa yang dikatakan samseng dan keganasan pihak pembangkang adalah rekaan dan pembohongan nyata.  Jika benar ada di antara mereka dikasari, mustahil mereka tidak melaporkan kepada polis. Ya, di Ijok Khairi Jamaluddin buat aduan polis. Boleh dikira sebagai bijak sedikit daripada Hishamuddin Tun Hussien. Nampaklah realistik sikit.

    Tetapi di Likas, tidak ada satu pun laporan polis dibuat pihak Barisan Nasional yang kononnya diganasi itu. Dan, di Likas saya adalah salah seorang yang telah dikejar, dipukul dan diugut sekumpulan pemuda berseragam UNMO hanya kerana merakam video dengan kamera peribadi saya sendiri. Saya telah membuat laporan polis.  Tetapi, sampai sekarang saya tidak tahu apakah status kes tersebut.

    Pengalaman ketika datang ke tempat-tempat pilihan raya kecil (Pilihan Raya Umum tidak sama tekanan dan kesannya) sebeginilah, walaupun hanya menjadi pemerhati, sekurang-kurangnya menyebabkan saya tidak percaya bulat-bulat bahawa pembangkang mengganasi penyokong Barisan Nasional di Ijok.

    Jadi, kenapa mereka sedaya-upaya mengaitkan pembangkang dengan keganasan? Kenapa isu ini akan dimainkan hanya jika keADILan yang bertanding? Kenapa ketika Pilihan Raya UMUM isu samseng dan keganasan tidak diputarkan?

    Pemimpin Barisan Nasional sepakat mengaku di laman web mereka bahawa ini kerana  keganasan dalam keADILan atau PKR diwarisi daripada Ezam, Saifuddin dan Azmin.

    Isu inilah yang sudah sekian lama dan sedang mereka olah untuk membentuk pemikiran rakyat (memperbodohkan). Mengolah pemikiran rakyat dengan pembohongan adalah amalan BN sejak sekian lama. Inilah corak pemerintahan yang Barisan Nasional warisi daripada Tun Dr. Mahathir.

    Maka, penduduk Ijok senang hati dapat hak mereka sambil ketawa melihat anak menantu Perdana Menteri dan konco-konconya tergunapakai* taktik pembohongan yang diwariskan oleh musuh utama mereka - Mahathir.

    TIPS: Pemuda BN akan buat kacau, supaya pembangkang leka. Puteri dan Wanita senyap-senyap bergerak dari rumah ke rumah.

    ______________________

    *tergunapakai  -  mengguna dan memakai sesuatu (seperti seluar) tetapi tidak menyedari apa yang dipakai.

    Contoh ayat: Ketika berjalan di pekan, semua orang mentertawakan Encik Rahim kerana tergunapakai seluar dalam Superman.

    ___________________________________________

    Walaupun tidak akan mengundi dan bukan anggota mana-mana parti politik, penulis memang teringin berada dan meninjau keadaan sebenar di Ijok ketika ini (seperti dahulu, ketika Pilihan Raya Kecil Teluk Kemang, Lunas, Likas, Pendang, Anak Bukit, Indera Kayangan dan lain-lain).  Memandangkan keperluan tugas harian menghalang niat, harap kawan-kawan blogger di lapangan memberikan update -  terima kasih.

    - Ijok Nomination: Pictures debunk the spin

    - IJOK BY-ELECTION: Too much heat for a state by-election?

    - Khalid Ibrahim’s entourage assaulted in Ijok!

    This blog recommends you the new & safer Firefox. » Get It Now

    Comments »

    The URI to TrackBack this entry is: http://arifabdull.blogsome.com/2007/04/22/n11-ijok-kenapa-umno-bersungguh-tuduh-pembangkang-bawa-budaya-lunas-ke-ijok/trackback/

    No comments yet.

    RSS feed for comments on this post.

    Leave a comment

    Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>



    Anti-spam measure: please retype the above text into the box provided.


    Anti-spam measure: please retype the above text into the box provided.



    IKLAN:

    Get free blog up and running in minutes with Blogsome | Theme designs available here