
Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ijok, hari ini menjadi bertambah panas apabila dilaporkan berlaku beberapa siri tindakan ganas sebagai taktik intimidasi (menimbulkan perasaan takut) pihak lawan terhadap jentera kempen pembangkang. PRK mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila berlaku acara saling membaling botol dan kayu tiang bendera pada hari penamaan calonnya.
Kejadian berlaku hari ini pula merupakan kali kedua dalam rekod PRK Ijok, Tan Sri Khalid Ibrahim, calon Parti KeADILan Rakyat (PKR) berjaya melepaskan diri tanpa kecederaan apabila berlaku insiden intimidasi dan gangguan oleh sekumpulan pemuda yang dipercayai adalah dari pihak lawan.
Insiden terbaru yang terjadi hari ini mengakibatkan Ketua PKR Bahagian Klang saudara P Krishnasamy, 46 tahun diganasi sehingga koyak baju dan pecah cermin mata. Menurut laporan Malaysiakini, kejadian berlaku ketika rombongan calon PKR sedang melakukan kerja kempen di sekitar Ladang Coalfield. Seramai lebih kurang 10 orang lelaki yang tidak dikenalpasti mengganggu mereka. Namun, lelaki yang mengasari saudara P Krishnasamy dikenalpasti sebagai Balakrishnan, menurut laporan tersebut.
Mangsa diberitakan telah membuat laporan polis sejurus selepas insiden.
Nota: Harap bukti berupa foto-foto serta salinan laporan polis dan dokumen berkaitan insiden ini dapat segera diedarkan oleh PKR untuk siaran dalam blog-blog dan juga laman web.
Insiden pertama melibatkan lebih kurang 20 hero yang dikenalpasti dari pemuda Barisan Nasional (BN) berlaku pada 21 April lalu, juga turut mengakibatkan kecederaan terhadap saudara Paul (seorang jurugambar yang sedang menjalankan tugas fotografi bersama saudara Jeff Ooi). Mereka berada di tempat kejadian bersama Tan Sri Khalid di atas undangan makan tengahari oleh calon PKR itu, yang merupakan sahabat lama Jeff Ooi.
Ikuti laporan versi English oleh pemberita Malaysiakini, Soon Li Tsin untuk mendapatkan gambaran penuh mengenai kejadian. Berita ini turut termuat di dalam blog Elizabeth Wong yang difahamkan berada di Ijok sepanjang PRK ini berlangsung.
Dalam pada itu, Malaysiakini hari ini turut memuatkan berita yang menyetakan bahawa kumpulan jurukempen (perayu undi) PKR terpaksa memanggil bantuan polis sebelum dapat berkempen. Selain itu, setakat hari ini dilaporkan sebanyak 6 ceramah PKR sepanjang tempoh berkempen PRK ini samada telah diarah bersurai, disekat atau dihalang oleh pihak polis. Wartawan Malaysiakini.tv turut menyiarkan berita yang termuat dalam 2 video yang bertajuk Cops end Anwar’s ceramah dan Police prevent PKR from conducting its ceramah (Updated) yang menyentuh isu berkaitan.
Ini menunjukkan keadaan politik dan amalan demokrasi di Malaysia sedang tergugat apabila hak rakyat untuk turut serta dalam salah satu daripada proses demokrasi (pilihan raya) telah dicabul dan keselamatan rakyat untuk aktif dalam politik negara sudah tidak terjamin lagi.
Sehubungan itu, sebuah badan pemerhati antarabangsa dalam persoalan hak asasi manusia di Malaysia, Amnesty International Malaysia (AIM) segera memberikan reaksi berupa desakan supaya tindakan polis menghalang ceramah pembangkang ketika proses PRK ini mesti disiasat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
Selain itu, pencabulan hak demokrasi di Ijok ini juga turut menarik perhatian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang keras mengutuk kegagalan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan Senarai Pemilih yang bersih dari unsur-unsur luar biasa yang meragukan sebagai menjamin pilihan raya yang adil bebas. Dalam kenyataan tersebut Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) turut mendesak pihak polis supaya tidak bersikap berat sebelah dan dalam masa yang sama SUARAM mengutuk kegagalan polis segera bertindak terhadap para pelaku intimidasi.
Dalam perkembangan yang disifatkan sebagai satu lagi tindakan terdesak pihak BN, sekumpulan pemuda yang dikenali sebagai skuad Gerak Gempur dari Pemuda Umno dilaporkan telah bertindak menurunkan kain pemidang PKR di sekitar Bilik Operasi PKR di Kampung Jaya Setia. Tindakan yang boleh diklasifikasi sebagai melanggar peraturan pilihan raya ini juga dapat ditonton melalui laporan Malaysiakini.tv.
This blog recommends you the new & safer Firefox.
» Get It Now