Tulisan ini adalah ulasan khas dan analisa terhadap sorotan berita-berita berhubung sebahagian siri insiden-insiden keganasan yang telah berlaku sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N11 Ijok berlangsung.
Selain sumber-sumber laporan berita di atas, analisa ini turut mengambilkira hasil penelitian laporan berita oleh pemimpin-pemimpin BN tersiar dalam media arus perdana. Ulasan yang disimpulkan di sini adalah pendapat peribadi semata-mata. Pandangan-pandangan ini sedaya upaya telah dikemukakan sejujur dan seadil mungkin bagi mengelak pengunaan fakta atau hujah-hujah menjurus isu sensitif seperti isu perkauman, prejudis terhadap perbezaan gender dan sebagainya. Maka, adalah diharap hujah-hujah yang dilempar ini dapat diperdebatkan secara terbuka, jujur, dan waras oleh semua pihak.
Agenda kuasa ghaib dalam Barisan Nasional
Secara peribadi saya percaya dan berani menyatakan di sini bahawa semua insiden-insiden memalukan dan tidak bertemadun melibatkan tindakan ganas bertujuan menimbulkan perasaan takut (intimidation) di Ijok sepanjang PRK ini adalah sengaja dirancang dan dilaksanakan untuk mencapai agenda tersembunyi pihak tertentu di dalam komponen parti-parti Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, ada kemungkinan tidak semua pemimpin BN terlibat dan tahu kewujudan rancangan licik ini melainkan individu atau kumpulan berkepentingan tersebut. Merekalah yang sedang melaksanakan perancangan jahat ini, di Ijok sekarang. Individu atau kelompok tertentu dalam BN (baca: UMNO) ini, adalah seorang atau kumpulan yang paling mendominasi dan memiliki kuasa sebenar (secara total) walaupun di sudut pandangan mata umum hakikat ini sukar dilihat apalagi untuk membuktikan kewujudannya.
Namun, kewujudan kuasa ghaib dalam BN ini secara samar-samar sudah berjaya dihidu oleh ramai orang yang celik dan tahu ilmu makna dan hakikat, punca dan akibat menurut falsafah politik sebuah daulah. Mungkin atas sebab darjah (degree) kekuatan dimiliki kuasa ghaib itu melampaui semua kekuasaan daulah negara, maka upaya sesetengah orang celik dalam percubaan mereka mendedah dan mengkhabarkan tentangnya kepada umum sebelum ini menemui kegagalan. Ternyata, kini ramai orang di negara ini telah benar-benar dapat merasai aura kuasa ini walaupun tidak jelas mata kasar. Terutama bagi ramai orang yang terlibat sepanjang PRK ini pasti amat beruntung kerana sekali-sekala mereka dapat melihat bayangan kuasa ghaib melalui gerak hati, berupa detikan rasa seram-sejuk (kalaupun tidak ketakutan) tatkala pemilik kuasa itu meniupkan aura kuasanya di Ijok.
Keganasan adalah momok terhadap Komunis, 50 tahun dahulu
Sebagaimana saya rumuskan sebelum ini bahawa ada kalangan pemimpin BN bersungguh-sungguh dalam usaha mereka menjadikan Ijok seperti Lunas yang tatkala PRK tahun 2000 mereka momokkan sebagai manifestasi keganasan pembangkang. Inilah momokan BN yang ketika masih dibawah telunjuk kuasa mantan PM Mahathir dan di Ijok kini taktik momok keganasan yang sama telah diputarkan semula melalui media arus perdana dan jentera milik kerajaan.
Momok keganasan terhadap parti pembangkang ini merupakan usaha pemerintah mengolah pandangan umum supaya mempercayai bahawa pembangkang adalah berbahaya kerana mereka bersikap ganas. Kerja-kerja kotor bagi mengalahkan lawan politik melalui momokan sebegini adalah amalan lazim kerajaan yang memerintah negara ini sejak dari menerima hadiah kemerdekaan secara percuma daripada British pada tahun 1957. Propaganda paling awal dalam sejarah Malaysia merdeka dimomokkan ke dalam pemikiran rakyat (di mana kesannya masih menebal sebagai kepercayaan wajib masyarakat negara ini hingga ke hari ini) adalah tuduhan anti-agama dan label pengganas terhadap kelompok pejuang bersenjata yang turut menuntut kemerdekaan - Parti Komunis Malaya (PKM) - dari penjajahan British.
Teknik momokan terhadap apa musuh pemerintah negara tidak hanya popular penggunaannya di Malaysia. Malahan, Presiden Amerika Syarikat dikatakan telah menggunakan teknik momokan bagi mengolah persetujuan rakyatnya melalui insiden 11 September bahawa AS perlu menyerang Iraq atas nama memerangi ‘terrorisme‘. Perkataan ‘terrorisme‘ adalah momokan yang mendatangkan perasaan takut rakyat AS dan akibatnya rakyatnya bersetuju dengan agenda perang Bush itu.
Di Malaysia pada hari ini, ketika negara sedang dalam suasana meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 di samping berusaha menarik pelancong melalui program Tahun Melawat Malaysia tahun 2007, pemerintahnya masih lagi menggunapakai teknok momokan ini dalam usahanya mengolah persetujuan umum supaya menolak apa yang mereka canangkan sebagai ’keganasan’, tapi momok keganasan kali ini bukan lagi ditujukan kepada golongan Komunis yang bersenjata itu. Kali ini kerajaan berjaya memperalatkan saluran media arus perdana untuk mengolah persetujuan rakyat supaya mempercayai sebuah parti politik yang berdaftar secara sah sebagai ‘pengganas’. Ironis sekali apabila ramai rakyat menyakini tuduhan itu, walaupun digambarkan bahawa parti politik berdaftar itu akan mengganas tanpa alasan tertentu hanya apabila mereka bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan akan bertukar menjadi parti yang bersopan-santun pada setiap kali menyertai pertandingan dalam mana-mana Pilihan Raya Umum.
Barisan Nasional bukan "terdesak"
Untuk Parti KeADILan Rakyat (PKR) yang menjadi mangsa momokan kali ini, saya berpendapat adalah penting bagi mereka untuk sedaya upaya menerjemah atau menganalisa isu ini sedalam-dalamnya, sebelum mereka dapat mencari jalan penyelesaian tepat dan kemudian untuk mereka memilih bentuk tindak balas wajar menangani momokan ini.
Sedih sekali dan amat malang bagi mereka seandainya pimpinan dan anggota parti itu masih gagal menanyakan soalan yang tepat bagi mencari jawapan persoalan ini. Ketika di Lunas Azmin Ali menyatakan bahawa BN menciptakan momokan keganasan sebab mereka sedang dalam keadaan terdesak, itu mungkin benar — walaupun tidak sepenuhnya tepat – jika mengambilkira keadaan nyata politik dan pandangan umum terhadap keADILan pada masa itu. Dan, jika kepercayaan ’BN terdesak’ masih menjadi pegangan anggota PKR di Ijok pada saat ini, ini menandakan bahawa mereka gagal menerjemahkan betapa bahayanya momokan keganasan ini terhadap survival dan masa depan parti itu. Maka, pihak berkuasa ghaib itu pasti akan gembira penuh kesyukuran kerana agenda utamanya gagal dimengerti apalagi ditepis oleh pihak lawan.
Andaikan sajalah masih ada kalangan anggota PKR (parti pembangkang lain juga) yang hanya sekadar mampu menanggapi siri insiden di Ijok itu dengan menggunakan semula teori ‘terdesak’ Azmin di Lunas dahulu, dan percaya bahawa BN kini najak maka mereka terdesak (desperate) lalu memberontak secara terang-terangan bagi menakut-nakutkan calon, jentera, penyokong PKR di Ijok, maka itulah kesilapan terbesar dasar politik yang akan membawa kehancuran kepada parti berkenaan. Kerana kegagalan memahami isu keganasan pembangkang di Ijok ini bukan sekadar menunjukkan kelemahan daya berfikir anggota parti tersebut, malah itulah antara tanda nyata bahawa ’program politik’ parti-parti ini telah gagal menajamkan kemampuan daya analisa fikiran anggotanya berdasarkan fakta sejarah selari keadaan nyata masa kini bagi sesuatu isu.
Semangat Reformasi dan anak muda kekuatan Lunas 2000
Maka tidak hairanlah mereka akan sedang terperangkap dalam ‘ilusi’ akibat kepercayaan rekaan mereka sendiri bahawa musuh sedang kucar-kacir dan akan mengalami kekalahan besar, sambil bersorak dan pemimpin besar akan berkata "Lihatlah, mereka terdesak sebab sedang menuju kekalahan".
Jujur saja, saya tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh Tian Chua, Azmin Ali, Saifuddin — hero Lunas 2000 – (sekadar menyebut nama-nama yang masih kelihatan di Ijok) dalam menafsir apa yang sedang terjadi di Ijok sekarang. Memanglah, kita wajib dan akan tetap mengakui bahawa mereka di atas inilah antara pimpinan muda bersemangat Reformasi yang ketika itu gagah, bersatu hati dan berpadu tenaga dengan anak-anak muda yang telah menghasilkan Lunas tahun 2000 itu. Hasil kerja kuat dan kesatuan pimpinan berjiwa muda bersama anak-anak muda itu, mereka bukan sahaja telah berjaya menepis dan melumpuhkan sepenuhnya serangan propaganda musuh (seperti VCD dan bahan-bahan kempen yang diedarkan jentera BN pada waktu malam) dengan hanya sekali serangan balas yang amat padu, malah kesatuan pimpinan dan anak muda (termasuk anak tempatan) ini telah berjaya memenangi PRK tersebut sekaligus menerima bonus berupa catatan sejarah manis penemuan bas-bas pengundi hantu.
Namun, sejarah Lunas mencatatkan bahawa kemanisan kemenangan itu hanya layak diperolehi pada tahun 2000. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 ternyata Lunas berkecai. Kenapa dan mengapa saya kurang tahu, namun justifikasi (alasan) biasa bagi menyenangkan hati akibat kekalahan ini hanya dengan menghujahkan bahawa "PRU tidak sama dengan PRK".
Oleh itu, kejayaan PRK Lunas 2000 tidak mungkin akan dapat dijadikan sebuah kenyataan samada di Likas, Pendang, Indera Kayangan, Batu Talam, Machap, Ijok atau mana-mana saja PRK andai asas-asas kekuatan di Lunas hanya dikenang dan tinggal sebagai nostalgia. Andaikanlah di Ijok sekarang ini tetap masih ada kesatuan padu pimpinan bersama anak-anak muda seperti di Lunas itu, namun jika kualiti sudut pandang dan tahap daya analisa politik ’kesatuan’ ini (anggota) adalah lemah dan masih serupa atau tidak meningkat berbanding di Lunas dahulu, maka Ijok akan menjadi satu lagi mimpi buruk buat semua rakyat Malaysia muak dengan BN. Apatah pula untuk mengharap mimpi indah ketika Pilihan Raya Umum nanti.
Bersandarkan pada fakta kemenangan di Lunas yang telah menjadi sejarah itulah, maka saya kira Ijok bukan matlamat utama kuasa ghaib itu sehingga terpaksa menggunakan semula taktik momok keganasan di Lunas dulu. Kalau matlamat insiden-insiden ini adalah semata-mata untuk meraih sokongan pengundi Ijok, mana mungkin mereka sanggup menyusun serangan-serangan intimidasi yang risikonya adalah kehilangan sokongan di Ijok, kerana Pengundi Ijok pasti dengan mudah akan dapat mengetahui siapa pelaku sebenar keganasan-keganasan ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kemenangan di Ijok bukan lagi matlamat BN sekarang. Sepertimana Lunas terlepas ke tangan pembangkang pada tahun 2000, tidak mustahil BN sanggup mengalah di Ijok demi memastikan agenda besar mereka tercapai.
Kenyataan di atas mungkin hanya akan dapat diterima akal secara waras apabila kita berjaya meneliti, menafsir serta memahami sifat dan bentuk tindakan mereka dalam siri insiden ganas di Ijok ini secara mendalam dan tepat.
Antara ciri ketara dapat dilihat dari setiap insiden-insiden ini adalah seperti berikut ini:-
1). mereka melakukannya secara terbuka (‘vulgar’ - tanpa berselindung, berbanding di Lunas dahulu). Bandingkan ketika di Indera Kayangan dahulu, kejadian seorang anggota jentera kempen pembangkang dilanggar secara ‘hit & run’ oleh orang BN itu benar-benar berlaku. Namun, sipelaku bijak itu gagal dikesan. Masa itu, mereka benar-benar hanya mahu menimbulkan ketakutan biasa maka tiada keperluan bagi mereka untuk melakukan ’kamekaze‘ seperti di Ijok kali ini.
2). Tindakan serangan mereka cukup rapi dan terancang (jentera risikan PKR dan pembangkang gagal menghidu rancangan serangan lebih awal, sedangkan ketika di Lunas terbukti bahawa jentera risikan berperanan penting mengesan percubaan serangan termasuklah menjejaki bas pengundi hantu. Nah, mungkin saja risikan di Ijok tidak berfungsi?)
3). Serangan bertubi-tubi secara berterusan (saya lihat ini bertujuan bagi mengekalkan momentum kepanasan dan ketakutan yang jadi matlamat. Bukan rasa takut calon, jentera atau penyokong PKR atau malah pengundi Ijok yang mereka hajati).
4). Kalau diamati strategi dan taktik pelaksanaan serangan kali ini jauh lebih baik dengan apa yang mereka persembahkan di dalam semua PRK-PRK semenjak Reformasi 1998, termasuk di Indera Kayangan, Anak Bukit, Likas dan lain-lain. Antara cara mereka memperbaikinya ialah dengan menggunapakai dan duplikasi (duplicate) segala taktik dan strategi golongan Reformasi sebelum ini, sebagai contohnya;
- tindakan segera membuat laporan polis bagi setiap penemuan salahlaku pihak mlawan adalah diciplak daripada strategi dan taktik golongan Reformasi,
- tidak dapat dinafikan kesedaran dan kejayaan mereka menarik golongan muda (termasuklah mat rempit) turut serta dalam jentera mereka hanya dapat dikesan akhir-akhir ini. Malahan ketika PRK Likas (PRK terakhir saya dapat meninjau) dahulu, BN hanya bergantung dengan anak muda yang sudah menjadi anggota sayap muda parti mereka yang di datang secara berkumpulan, mengikut Rumah Negeri. Mereka ini secara mentalitinya hanya terlibat sebagai jentera untuk keseronokan. Oleh kerana mereka rata-ratanya adalah golongan muda yang berkelulusan atau merupakan anak orang BN golongan pertengahan (berada), mereka sering kelihatan hanya berfungsi sebagai kelompok penghias Bilik Gerakan dan tidak akan terlibat dalam kerja-kerja berat seperti memasang poster dan sebagainya. (Melalui pendedahan di dalam blog-blog peribadi, saya terhidu jangkitan virus ini dalam jentera PKR di Ijok. Ada golongan anak-anak muda berkelulusan terlibat dalam kempen di Ijok yang lebih banyak bergossip tentang cerita karut-marut. Alangkah baiknya jika kelompok ini mampu menggunakan otak bijak kerana berkelulusan bagi memikirkan cara berkesan menarik lebih ramai anak muda tempatan turut serta dalam jentera. Malahan, sekurang-kurangnya adalah bermanafaat walaupun mereka hanya sekadar dapat mengumpul anak-anak pengundi yang masih di sekolah rendah melalui kretiviti idea seperti menganjurkan acara pertandingan melukis dan sebagainya (contoh ini pernah dilakukan oleh anak muda sukarela di Likas dulu).
Dalam jentera keADILan ketika itu, terdapat ramai anak muda tempatan yang sukarela menyumbang tenaga, begitu juga anak muda dari Semenanjung yang sanggup datang ke Likas atas dasar sukarela dan terpaksa membeli tiket penerbangan dengan perbelanjaan sendiri. Dan, golongan mat rempit pula adalah berbeza sedikit dengan golongan anak muda jadi jentera mereka untuk keseronokan ini. Ini kerana mat rempit merupakan antara golongan tertindas (marginalised) dalam negara ini, hanya berbekalkan wang saguhati dan sedikit duit minyak motor serta kata-kata pembakar semangat oleh pemimpin BN yang menaja mereka, mat rempit akan bekerja bersungguh-sungguh melaksanakan tugas. Oleh kerana tugas tetap mat rempit ini hanyalah perlukan mereka menunggang motorsikal dan membawa bendera BN keliling kampung, maka ia sesuatu yang selari dengan jiwa mereka. Namun, kesannya tetap kelihatan bahawa BN berjaya mengadapatasi kepakaran golongan Reformasi mendekati anak muda (seperti sebelum ini).
5). Teknik provokasi yang mereka gunakan juga telah mengalami proses naiktaraf. Provokasi (termasuk intimidasi) oleh anggota sayap pemuda adalah untuk menarik perhatian, tenaga dan pemikiran pihak lawan. Ketika pihak lawan lalai dan terganggu dari fokus golongan provokator ini akan teruskan usaha provokasinya. Tanpa disedari sayap wanita dan puteri yang lawa dan cantik-cantik telah senyap-senyap menyusup ke dalam masyarakat dengan program kebajikannya.
BN kalah di Ijok = bukti PKR ganas + BN menang PRU Namun, kuasa ghaib itu tidak kemaruk dengan kemenangan di Ijok. Hujah ini disokong oleh logika siri tindakan serangan intimidasi yang dibuat secara terbuka itu. Bagi anda yang mana satu lebih penting, kemenangan atau kekalahan dalam PRK Ijok atau kemenangan atau tewas dalam PRU?
Teori bagaimana BN sanggup mengorbankan Ijok demi menjamin kemenangan di seluruh negara dalam PRU ke-12 adalah bersandarkan kepada analisa terhadap akibat kekalahan BN di Lunas pada PRK tahun 2000 itu. Dengan hanya kalah di Lunas, maka BN dapat mencari alasan keganasan sebagai punca kekalahan. Kesempatan memomokkan keADILan dengan ’keganasan’ dapat dijalankan dengan berjaya sekali hanyalah selepas BN kalah di Lunas. Pengundi di Lunas kenal Adun baru mereka itu adalah saudara Saifuddin yang baik orangnya dan mereka sedia maklum siapa sebenarnya mengganas di sana masa PRK itu tapi bagi pemerintah pengundi Lunas sudah tidak penting lagi sebab itu media tetap saja memutarkan isu itu di media.
Akibatnya, di serata pelusuk negara yang tidak tahu apa yang sebenarnya telah terjadi di Lunas itu percaya bahawa keADILan mamang ganas. Bukti kukuhnya adalah kekalahan BN, disebabkan taktik kempen pembangkang menakut-nakutkan pengundi dengan tindakan ganas mereka. Mahathirlah yang ketua kepada agenda momokan ini pada masa itu, kerana beliau terpaksa menutup andaian Ahli Parlimen Johor Bharu yang mengkritiknya sebagai punca kekalahan itu. Akhirnya, kali ini kuasa Mahathir dan kerajaan berjaya mengolah dan mengalihkan punca kekalahan BN di Lunas kepada pembangkang yang memenangi PRK itu. Tapi untuk Ijok, kuasa itu tidak kelihatan sebagaimana kita nampak Mahathir selalu.
Asal-usul sejarah keganasan PKR
Apalah sangat yang ralat bagi BN jika mengalah dengan membiarkan PKR menang kerusi Ijok? Paling lama pun setahun sahaja Tan Sri Khalid akan jadi Adun Ijok sebelum PRU ke-12.
Hakikat yang tertulis dalam sejarah pula mencatatkan bahawa usaha memomokkan keganasan terhadap PKR ini sudah pun dicuba dan bermula sejak laungan Reformasi pertama lagi. Kemudian, sekali lagi tuduhan ini dihebahkan kepada rakyat secara ‘massive‘ dalam media arus perdana, ketika PRU tahun 1999 bahawa keADILan adalah parti ganas namun persetujuan rakyat belum dapat diolah hanya kerana BN tidak mampu mambawakan apa bukti kukuh menyokong tuduhan itu. Mengambil kira faktor situasi politik pada masa itu, yang menyaksikan bahawa tahun 1999 merupakan kemuncak tertinggi momentum laungan Reformasi dan ini menjadi salah satu faktor kegagalan projek momokan pada masa itu. Tapi hari ini, pemimpin UMNO sudahpun menulis sejarah versi kelompok pemenang tentang Sejarah Panjang Keganasan Azmin dan PKR. Sama sabagaimana UMNO sesuka-hati melakar cerita sejarah menurut versi mereka tentang kemerdekaan dan para pejuangnya.
Selain meletakkan kepentingan PRU akan datang sebagai matlamat utama ku
asa ghaib ini, kita seharusnya berupaya meneka dan menjangkakan matlamat-matlamat lain yang mungkin terselindung di sebalik PRK Ijok ini. Cuma letakkan diri anda di tempat musuh PKR ini dengan cara membayangkan diri anda sebagai si kuasa ghaib yang tamak itu, sanggupkah anda mengorbankan sebuah kerusi DUN di Ijok dengan cara berpura-pura kalah di tangan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam PRK ini jika sebagai hasil ganjarannya anda akan berpeluang cerah menghancurkan PKR sebagaimana PKM terkubur akibat momokan serupa, iaitu keganasan.
&
This blog recommends you the new & safer Firefox.
» Get It Now